Info Halal

Halal

“Halal berasal daripada kalimah Arab yang bermaksud dibenarkan atau dibolehkan oleh Hukum Syarak”.

Takrif Halal mengikut Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan “Halal”) 1975 adalah seperti berikut:

Apabila digunakan berhubung dengan makanan dalam apa-apa juga bentuk dalam perjalanan perdagangan atau perniagaan sebagai suatu perihal dagangan atau sebagai sebahagian daripada suatu perihal dagangan yang dipakai bagi makanan itu, perbahasaan-perbahasaan ‘Halal’, ‘Ditanggung Halal’ atau ‘Makanan Islam’ atau apa-apa perbahasaan lain yang menunjukkan atau mungkin difahamkan sebagai menunjukkan bahawa orang-orang Islam adalah dibenarkan oleh agama mereka memakan makanan itu maka perbahasaan itu hendaklah mempunyai erti yang berikut, iaitu makanan yang berhubung dengan perbahasaan atau perbahasaan-perbahasaan itu digunakan:

  1. Bukanlah terdiri daripada atau mengandungi apa-apa bahagian atau benda dari binatang yang orang Islam dilarang oleh Hukum Syarak memakannya atau yang tidak disembelih mengikut Hukum Syarak.
  2. Tidaklah mengandungi apa-apa benda yang dihukum sebagai najis mengikut Hukum Syarak.
  3. Tidak disedia, diproses atau dikilang dengan menggunakan apa-apa alat yang tidak bebas dari benda-benda najis mengikut Hukum Syarak.
  4. Tidaklah dalam masa menyedia, memproses atau menyimpannya itu bersentuhan atau berdekatan dengan apa-apa makanan yang tidak memenuhi kehendak-kehendak perenggan (a), (b) atau (c) atau apa-apa benda yang dihukum sebagai najis mengikut Hukum Syarak.

Di Malaysia, pihak berkuasa yang bertanggung jawab terhadap pengeluaran sijil Halal adalah JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), JAIN (Jabatan Agama Islam Negeri) atau MAIN (Majlis Agama Islam Negeri) mana satu yang berkenaan.

 

Logo Halal

halalLOGOgabungan

Logo halal bermaksud logo halal yang dikeluarkan oleh JAKIM/ JAIN/ MAIN dan mengandungi:

  1. Bintang berbucu lapan di tengah-tengah bulatan.
  2. Perkataan Arab – “حلآل” di tengah bintang.
  3. Diikuti tulisan Rumi “HALAL”.
  4. Bulatan logo tertulis perkataan “MALAYSIA” dalam tulisan Rumi dan ماليزيا dalam perkataan Arab.
  5. Dua bintang kecil berbucu lima diletakkan bagi memisahkan tulisan Rumi dan perkataan Arab tersebut.

 

Syarat Penggunaan Logo Halal Pada Pembungkusan dan Pelabelan

  1. Setiap label pembungkusan hendaklah dicetak dengan terang dan jelas serta tidak mudah dipadamkan
  2. Label pembungkusan hendaklah mengandungi maklumat-maklumat mengikut peraturan, akta dan standard berkaitan; Antaranya adalah:
    a. nama produk;
    b. logo Halal Malaysia beserta nombor Malaysian Standard (MS) dan nombor rujukan fail (10 angka terakhir); Contoh: Kategori Produk Makanan

     MS1500: 2009 1059-02/ 2008

    MS1500: 2009
    1059-02/ 2008

    c. kandungan bersih dinyatakan dalam sukatan metrik (unit SI);
    d. nama dan alamat pengilangan, pengimport dan/ atau pengedar dan cap dagangan;
    e. senarai kandungan; f. nombor kod menunjukkan tarikh dan/ atau nombor kelompok pengeluaran dan tarikh luput; dan
    g. negara asal produk.

  3. Pelabelan dan pengiklanan hendaklah tidak melanggar prinsip-prinsip Hukum Syarak serta tidak menonjolkan unsur-unsur tidak sopan yang bertentangan dengan Hukum Syarak;
  4. Nama produk tidak menggunakan perkataan ‘Halal’ dan nama-nama berunsurkan keagamaan dan ketuhanan; dan
  5. Bahan pembungkusan hendaklah tidak diperbuat daripada bahan yang dikategorikan sebagai najis

Sumber: www.halal.gov.my

 

Az-Zain Shah Alam adalah sebuah Pasaraya Mini yang berkonsepkan Halal Mart. Kami menjual produk-produk halal muslim secara runcit dan juga borong. Az-Zain Shah Alam telah mempunyai empat buah rangkaian halal mart lain iaitu Az-Zain Bandar Putera 2, Az-Zain USJ Subang Jaya, Az-Zain Seksyen 27 Shah Alam , dan Az-Zain Alam Budiman. Untuk alamat lengkap sila klik di sini LIHAT LOKASI KAMI