Keluhan peniaga keropok Losong

By | April 13, 2015

Artikel ini dikeluarkan oleh Sinar Harian

NORHASPIDA YATIM
13 April 2015

KUALA TERENGGANU – Ibarat hidup segan mati tak mahu. Itulah perumpamaan terhadap sesetengah pengusaha keropok lekor di Kampung Losong Haji Su yang kebanyakannya mengaku pelanggan semakin berkurangan disebabkan beberapa faktor.

Pengusaha keropok Kedai Kita (Pak Cik Din Keropok Lekor), Mohd Muda, 60, berkata, jika dahulu jualannya mencecah 100 kilogram (kg) sehari, kini hanya 5kg keropok habis terjual dalam sehari, yang benar-benar memberi kesan pada pendapatannya.

Mohd yang membuka perusahaan keropok lekor sejak 1999 berkata, kos bahan mentah juga meningkat 200 peratus, namun keropok masih dijual dengan harga sama iaitu RM1 bagi empat hingga lima batang.

“Kalau mahu cerita, banyak faktor yang mempengaruhi kurangnya jualan keropok di sini. Faktor pelanggan, faktor pasaran dan juga saingan. Keropok Losong kini boleh didapati di merata-rata tempat, walaupun hakikatnya di sinilah bermulanya sejarah keropok Losong yang suatu ketika dulu cukup dikenali.

“Kalau nak diibaratkan dari segi jualan keropok Losong di sini, tiada beza dengan 30 tahun lalu kerana tiada pengembangan dari segi pasaran produk. Persaingan produk juga wujud kerana jenama Losong kini boleh didapati di merata-rata tempat termasuk di luar Terengganu,” katanya.

Pelanggan tak tahu lokasi sebenar

Menurut Mohd, jualan sedikit stabil apabila musim cuti persekolahan serta Sabtu dan Ahad kerana pelanggan dari luar datang membeli keropok di situ, jika tidak, dia hanya mengharapkan belian daripada penduduk setempat semata-mata.

“Pada saya, promosi lokasi asal keropok Losong masih kurang, sama ada daripada pihak kerajaan mahupun pengusaha keropok itu sendiri. Ia secara tidak langsung menyebabkan orang luar tidak tahu di mana lokasi asal keropok Losong yang sebenar.

“Jadi, sebagai seorang daripada 16 pengusaha keropok lekor di sini, saya harap satu inisiatif dapat dilaksanakan bagi mengekalkan kegemilangan keropok Losong yang asalnya bermula di sini. Baik inisiatif daripada pihak pelancongan atau agensi berkaitan,” katanya.

Jualan merudum lebih 50 peratus

Sementara itu, pengasas Kak Mek Losong (KML Food Enterprise), Mohd Shahrani Omar berkata, jualannya merudum lebih 50 peratus kebelakangan ini, jika dahulu dia mampu raih sehingga RM30,000 sebulan, kini dia hanya mendapat RM200 sehari.

Kata Mohd Shahrani yang sudah 14 tahun mengusahakan keropok lekor, pendapatan kini mampu membayar gaji tiga pekerjanya sahaja.

“Kalau diikutkan, selepas GST (cukai barang dan perkhidmatan) semua barang naik harga termasuk bil elektrik di perusahaan saya ini, yang terpaksa dibayar lebih mahal berbanding sebelum ini.

“Tahun ini sahaja, memang saya rasa amat tertekan kerana kos bahan mentah turut meningkat. Harga sagu pun naik RM5 bagi setiap satu beg. Ikan segar pun susah nak dapat sekarang dan harganya juga mahal.

Tetapi kita masih tidak naikkan harga keropok yang dijual,” katanya yang menggunakan ikan tamban dan selayang dalam pembuatan keropok.

Menurutnya, dahulu, setiap minggu ada sebuah bas yang membawa penumpang dari luar Terengganu datang ke situ, namun selepas musim banjir tahun lalu, bas itu tidak lagi membawa penumpang dari luar dan suasana di Losong sudah tidak semeriah dahulu.

“Bila bercakap dengan pengusaha bas, katanya harga minyak mahal dan mereka terpaksa bayar tambahan RM500 berbanding harga biasa RM2,000, menjadikan kos minyak mereka RM2,500.

“Sekarang, musim cuti persekolahan pun tidak ramai yang datang ke sini untuk beli keropok. Bila tiada pelanggan, kualiti keropok pun agak terjejas. Sebab bila pelanggan ramai, produktiviti keropok itu akan sentiasa berjalan dan kualitinya juga sama dan terpelihara,” katanya.

Perkenal keropok vakum

Mohd Shahrani berkata, bagi mempelbagaikan keropoknya untuk menembusi pasaran luar, dia kini membuat keropok vakum yang dijual pada harga RM5.50 di kedainya dan RM5.90 di Petron Batu Burok.

“Keropok vakum di Petron Batu Burok dijual setelah dimasukkan ke dalam peti sejuk bagi mengekalkan kesegarannya.

“Kos untuk membeli mesin vakum sahaja sebanyak RM9,000, sebab itulah tidak semua kedai mampu membuat keropok vakum ini,” katanya.

Sunyi tanpa pelanggan

Pengusaha Kak Yah Keropok Losong, Sariah Ismail berkata, jualan keropok lekor yang diusahakan bersama 10 pekerjanya, kini merudum lebih 50 peratus.

“Kalau dahulu kita boleh jual sehingga satu tan keropok lekor dalam sehari, kini 300 hingga 400kg sahaja dalam sehari dan pelanggan pun agak ramai ketika hujung minggu. Kalau hari-hari biasa, keadaan memang sunyi tanpa pelanggan.

“Memang jualan ketika ini sangat perlahan dan kesan GST pun ada kerana banyak barangan yang dibeli dikenakan GST, tambahan pula pengetahuan mengenai GST pun masih kurang,” katanya.

Pekerja Kak Yah Keropok Lekor, Fatimah Ismail, 49, berkata, pelanggan memang agak berkurangan jika hari biasa, namun ketika musim cuti sekolah serta Sabtu dan Ahad, ramai juga yang datang untuk membeli keropok Losong.

“Bergantung pada keadaan, kalau musim cuti, memang ramai jugalah yang datang membeli keropok. Berbanding hari biasa, pelanggan amat kurang dan keadaan di sini sepi tanpa pelanggan,” katanya.

Sumber

Terdapat pelbagai jenis keropok lekor yang dijual di kedai kami termasuklah Keropok Losong.
Lihat gambar ini
keropok lekorDapatkan di alamat berikut:

Az-Zain Shah Alam
NO.9, JALAN TUKUL P15/P, SEKSYEN 15, 40200 SHAH ALAM, SELANGOR.

  • Tel. +603-55230323
  • E-mail: produkmuslim@az-zain.com
Az-Zain Shah Alam adalah sebuah Pasaraya Mini yang berkonsepkan Halal Mart. Kami menjual produk-produk halal muslim secara runcit dan juga borong. Az-Zain Shah Alam telah mempunyai empat buah rangkaian halal mart lain iaitu Az-Zain Bandar Putera 2, Az-Zain USJ Subang Jaya, Az-Zain Seksyen 27 Shah Alam , dan Az-Zain Alam Budiman. Untuk alamat lengkap sila klik di sini LIHAT LOKASI KAMI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *