Kilang Bebola Ikan Di Juru Guna Logo Halal Tidak Diiktiraf Diserbu

Artikel ini dikeluarkan oleh Bernama pada 5 Februari 2014

BUKIT MERTAJAM, 5 Feb (Bernama) — Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Seberang Perai Tengah (SPT) Selasa menyerbu sebuah kilang memproses bebola ikan di Juru di sini kerana menggunakan logo halal tidak diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pegawai Penguat Kuasanya Md Nasir Mohamad berkata hasil maklumat awam dan risikan sejak seminggu lepas, pihaknya menyerbu kilang yang terletak di kawasan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Juru pada pukul 11.30 pagi.

“Hasil pemeriksaan, kita mendapati pihak kilang berkenaan masih menggunakan logo halal yang dikeluarkan pihak swasta dan pemiliknya memberi alasan tidak tahu logo berkenaan tidak boleh digunakan.

“Pemilik itu juga maklumkan tidak pernah tahu perlu memohon daripada Jakim untuk mendapatkan sijil dan logo halal yang sah serta diiktiraf,” katanya kepada pemberita di sini.

Katanya pihaknya mengarahkan pemilik kilang itu menarik balik semua produk yang menggunakan logo halal daripada syarikat swasta berkenaan serta merta dan merampas sejumlah bungkusan bebola ikan terbabit.

“Kita turut memberi penerangan kepada pemilik kilang berkenaan bahawa hanya Jakim sahaja agensi yang dilantik sebagai badan berwibawa bagi perakuan pengesahan status halal menurut peraturan Akta Perihal Dagangan (APD) 2011,” katanya.

Md Nasir turut menasihatkan pemilik kilang yang memproses makanan dan pengusaha produk makanan supaya memperbaharui logo lama kepada logo halal yang baharu.

Katanya jika gagal berbuat demikian mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM200,000.

BERNAMA

Leave a Reply

Close Menu