Pembekalan produk halal untuk pasaran global masih rendah – Tok Pa

By | April 3, 2015

Artikel ini dikeluarkan oleh Astro Awani pada 27 Mac 2015

tok pa

KUALA LUMPUR: Pembekalan keluaran halal semasa hanya menampung 20 peratus daripada permintaan sebenar dunia, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

“Permintaan bagi produk halal global yang terdiri daripada makanan, minuman, ramuan, kosmetik dan barangan penjagaan diri serta farmaseutikal dianggarkan bernilai US$790 bilion (US$1=RM3.67).

“Namun, permintaan ini hanya dapat dipenuhi setakat 20 peratus atau bersamaan dengan nilai US$136 bilion oleh pembekal keluaran halal sedunia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penghargaan Program ‘SME Mentoring’ di sini semalam.

Mustapa berkata mengikut kajian oleh Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) baru-baru ini, bilangan pembekal keluaran halal amat kecil dan tidak dapat memenuhi permintaan pengguna.

“Jurang perbezaan permintaan berbanding bekalan adalah sebanyak 80 peratus dengan nilai kira-kira US$654 bilion.

“Pastinya, keadaan ini membuka peluang kepada pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia. Usaha harus dipertingkatkan untuk mengetengahkan produk halal kita di pasaran antarabangsa,” katanya.

Program seminar mentoring perniagaan yang dikendalikan secara bersama oleh HDC, SME Corp Malaysia dan Nestle (Malaysia) Bhd itu menyaksikan penyertaan sebanyak 243 syarikat PKS dari seluruh negara, sejak diperkenalkan pada 2009.

Mustapa berkata program sedemikian mampu membantu industri kecil dan sederhana mengukuh dan mengembangkan pasaran produk halal mereka melalui peningkatan kualiti, produktiviti dan pemasaran.

“Di samping berpeluang menjadi pembekal kepada Nestle, usahawan halal turut dibantu mempertingkatkan keupayaan untuk menembusi pasaran global,” katanya.

Beliau berkata keseluruhan pasaran halal global yang dianggarkan bernilai lebih US$2.3 trilion setahun menyediakan peluang yang mampu menyumbang secara positif kepada ekonomi negara.

“Jumlah penduduk beragama Islam di seluruh dunia dianggarkan 1.8 bilion dan merupakan pasaran yang besar dan amat luas.

“Produk halal turut menarik minat pengguna bukan Islam berikutan ciri-cirinya seperti kaedah penyediaannya yang selamat, hasilnya bermutu dan penuh khasiat.

“Dari sudut ini, penerimaan barangan halal menjangkau enam bilion pengguna di seluruh dunia,” katanya.

sumber

Az-Zain Shah Alam adalah sebuah Pasaraya Mini yang berkonsepkan Halal Mart. Kami menjual produk-produk halal muslim secara runcit dan juga borong. Az-Zain Shah Alam telah mempunyai empat buah rangkaian halal mart lain iaitu Az-Zain Bandar Putera 2, Az-Zain USJ Subang Jaya, Az-Zain Seksyen 27 Shah Alam , dan Az-Zain Alam Budiman. Untuk alamat lengkap sila klik di sini LIHAT LOKASI KAMI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *