Pengusaha Bumiputera Disaran Mohon Sijil Halal

By | May 24, 2014

Artikel ini dikeluarkan oleh Sinar Harian pada 24 Mei 2014

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyarankan usahawan Bumiputera yang sedia ada supaya memohon sijil halal bagi mengukuhkan kepercayaan pengguna terhadap produk mereka.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, pemilikan sijil halal daripada badan pengeluar sijil halal seperti Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim), akan memberi jaminan tentang kualiti dan status bahan yang digunakan.

“Bumiputera harus memanfaatkan sijil halal sebagai nilai tambahan kepada produk keluaran syarikat bagi memasarkan produk di dalam pasaran domestik mahupun antarabangsa,” kata beliau kepada Bernama di majlis pelancaran produk berasaskan kecantikan oleh Havarline Diamond Sdn Bhd di sini.

Ahmad Bashah berkata masyarakat tempatan kini lebih berwaspada dalam pemilihan produk harian walaupun ia keluaran Bumiputera.

Di samping itu, beliau menyeru usahawan Bumiputera agar memanfaatkan teknologi bagi memastikan bekalan produk mencukupi bagi menampung permintaan pasaran.

“Penggunaan teknologi dalam penghasilan produk dapat membantu usahawan Bumiputera terutamanya dari sektor kecil dan sederhana untuk bersaing dengan syarikat-syarikat dan pengusaha yang lain,” katanya lagi.

Menurut laporan sebelum ini, Malaysia masih kekal sebagai pengeksport terbesar produk halal dunia dengan nilai eksport berjumlah RM32.8 bilion meskipun jumlah itu hanya meliputi lima peratus daripada keseluruhan jumlah eksport negara tahun lepas.

Pada 2013, eksport negara meningkat 2.4 peratus atau RM17.17 bilion kepada RM719.81 bilion. – Bernama

Sumber

Az-Zain Shah Alam adalah sebuah Pasaraya Mini yang berkonsepkan Halal Mart. Kami menjual produk-produk halal muslim secara runcit dan juga borong. Az-Zain Shah Alam telah mempunyai empat buah rangkaian halal mart lain iaitu Az-Zain Bandar Putera 2, Az-Zain USJ Subang Jaya, Az-Zain Seksyen 27 Shah Alam , dan Az-Zain Alam Budiman. Untuk alamat lengkap sila klik di sini LIHAT LOKASI KAMI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *