Pusat Sembelih Ayam Menjijikkan

By | September 4, 2010

Artikel ini dikeluarkan oleh Utusan pada 4 September 2010

KUALA LUMPUR 3 Sept. – Menjijikkan! Begitulah keadaan di sebuah pusat penyembelihan ayam di Pasar Chow Kit yang diserbu pihak berkuasa awal pagi ini.

Serbuan pada pukul 4 pagi itu dilakukan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Dewan Bandaraya Kuala Kuala (DBKL) dan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Jakim, Mohd. Amri Abdullah berkata, serbuan dilakukan berikutan aduan orang awam yang mendakwa penyembelihan di situ tidak diiktiraf oleh Jawi.

Menurutnya, ketika pemeriksaan dibuat, pihaknya menemui beberapa dokumen penyembelih yang diiktiraf tetapi penama dalam dokumen itu tiada di premis tersebut.

“Mereka yang menjadi penyembelih di premis itu ialah beberapa lelaki warga Bangladesh. Hasil pemeriksaan, penyembelihan ayam yang dilakukan itu tidak mengikut syariat Islam kerana urat halkum haiwan itu tidak terputus.

“Terdapat juga urat-urat lain di bahagian tengkok ayam yang disembelih tidak terputus. Ini menyebabkan binatang berkenaan dianggap mati sebagai bangkai,” katanya kepada pemberita hari ini.

Mohd. Amri menambah, ayam-ayam yang disembelih itu kemudian dilonggok dalam sebuah tong yang begitu kotor dengan kesan darah kering yang tidak pernah dibasuh serta bulu ayam.

Malah, beliau memberitahu, pusat penyembelihan ayam itu dikesan terletak bersebelahan dengan tempat penyembelihan babi.

Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai yang membeli ayam sempena Hari Raya Aidilfitri ini peka dengan penyembelihan yang dilakukan.

“Operasi ini akan diteruskan bagi memastikan pusat penyembelihan ayam tidak bertindak dengan sesuka hati semata-mata untuk mengejar keuntungan,” ujarnya.

Sumber

Az-Zain Shah Alam adalah sebuah Pasaraya Mini yang berkonsepkan Halal Mart. Kami menjual produk-produk halal muslim secara runcit dan juga borong. Az-Zain Shah Alam telah mempunyai empat buah rangkaian halal mart lain iaitu Az-Zain Bandar Putera 2, Az-Zain USJ Subang Jaya, Az-Zain Seksyen 27 Shah Alam , dan Az-Zain Alam Budiman. Untuk alamat lengkap sila klik di sini LIHAT LOKASI KAMI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *