fbpx
Mi Sihat Atasi Sembelit – Yumny Food

Mi Sihat Atasi Sembelit – Yumny Food

Artikel ini dikeluarkan di Harian Metro di bawah tajuk Mi Sihat Atasi Sembelit pada Selasa, 23 Ogos 2016

Sumber

mi sihat atasi sembeli yumny food

Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my

Pada mata kasar, mi dihasilkan ini tidak ubah seperti mi kuning lain di pasaran. Namun, ia sebenarnya mi sihat yang diolah daripada sayur-sayuran sekali gus membolehkan kanak-kanak memperoleh nutrisi yang terdapat pada bahan organik terbabit.

Mi Sihat pelbagai warna semulajadi

Uniknya, mi ini bukan saja berwarna kuning, tetapi turut berwarna hijau dan oren berikutan menggunakan bahan sayuran diperlukan kanak-kanak serta golongan dewasa yang menghadapi masalah sembelit.

Diolah dengan empat perisa sayur-sayuran seperti labu, sawi, bayam dan lobak merah, setiap mi berkenaan mengandungi nutrisi berbeza dan menggunakan bahan asas seperti tepung, telur dan pelbagai sayuran segar untuk memenuhi selera pengguna.

Secara tidak langsung, penghasilan mi sihat ini dapat merangsang kanak-kanak atau mereka yang tak gemar makan sayur memperoleh khasiat diperlukan tubuh, sekali gus mengelak penyakit berikutan kurang minum air dan makanan tinggi serat.

Mi Sihat hasil pengalaman 34 tahun berdepan pesakit sembelit

Pemilik resipi sihat ini Dr Khadijah Zakaria berkata, pengalaman 34 tahun berdepan pesakit sembelit memberi tamparan hebat kepadanya untuk mencari formula mi sihat, sekali gus mengurangkan risiko sembelit dalam kalangan kanak-kanak.

“Saya memerhatikan masalah pesakit berkaitan usus ini sejak 20 tahun dan dalam tempoh itu banyak isu dibincangkan.

“Ada pesakit saya dalam kalangan ahli makmal dan guru. Mereka memberi pandangan berkaitan isu dihadapi,” katanya.

Berpandukan kepada perbincangan itu, Dr Khadijah membangunkan produk secara pembangunan dan penyelidikan (R&D) selama dua tahun.

Bacaan lanjut: Lihat pelbagai lagi produk keluaran Yumny Food di sini

“Dalam tempoh menyiapkan resipi sihat itu, saya mencipta mi yang tidak menggunakan protein tinggi, apatah lagi bahan terbabit mampu menyebabkan hiperaktif dan mendatangkan masalah kepada perut.

“Paling mustahak bahan utama digunakan tidak menggunakan bahan kimia berbahaya, bebas monosodium glutamat (MSG), pewarna tiruan, bahan pengawet dan tiada asid borik,” katanya.

Dr Khadijah menghasilkan mi yang diolah daripada bahan semula jadi dan paling penting bahannya diperbuat daripada sayur-sayuran yang berkhasiat.

“Ciri utama mi yang dihasilkan pula perlu kenyal, sedap dan itu antara cabaran menghasilkan mi sayuran ini,” katanya menghasilkan empat jenis mi dikenali Mi Lobak Merak, Mi Labu Manis, Mi Sawi dan Mi Bayam.

Mengulas satu persatu katanya, sayur bayam atau nama saintifiknya Amaranthus mempunyai banyak zat besi, lobak merak pula kaya dengan karotenoid, sawi pula kaya dengan klorofil dan labu pula kaya dengan antioksidan dan selenium.

Resepi istimewa bantu fokus dan stabilkan emosi

Katanya, bahan utama yang dihasilkan daripada bahan karbohidrat mengandungi serat dan protein supaya kadar gula dapat diseimbangkan.

“Ia membolehkan seseorang kanak-kanak itu memberi tumpuan, fokus, emosi stabil dan tenteram berbanding mi kuning yang mengakibatkan kanak-kanak hiperaktif dan mudah marah.

“Sebab itu dalam menghasilkan mi sihat ini, saya perlu memastikan kandungan gula dikekalkan dan dalam proses mengekalkan gula, maka perlu ada karbohidrat dan serat,” katanya.

Katanya, penyediaan mi sihat boleh dipelbagaikan fungsinya seperti mi kuning terdapat di pasaran.

“Berdasarkan panduan memasak disarankan, air perlu dididihkan sebanyak 1.5 mililiter dan masukkan mi sayur sehingga lembut.

“Terpulang kepada ibu bapa untuk menghidangkan mi itu mengikut menu digemari seperti mi goreng, mi sup, mi kari dan sebagainya,” katanya.

Mi sihat menang pelbagai anugerah sejak 2013

Berkongsi kejayaannya, dia yang menyertai bengkel khas Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Johor pernah memenangi beberapa anugerah berikutan kejayaannya menghasilkan mi sihat daripada sayur-sayuran sejak 2013.

“Antaranya, saya memenangi Anugerah Inovasi Agro Johor pada 2013 dan terbaru dinobatkan johan Anugerah Cabaran Inovasi Johor 2016 anjuran Bahagian Teknologi dan ICT Negeri Johor (BSTICT) di Persada, baru-baru ini.

Katanya, mi sayur memang diformulasi untuk kebaikan, apatah lagi isu sembelit sering dihadapi kanak-kanak, selain turut dihadapi golongan wanita yang menghadapi masalah haid tidak seimbang, fibroid dan pesakit ketumbuhan pada ovari (cyst).

“Saya hasilkan mi sihat ini supaya sekurang-kurangnya ada jalan penyelesaian mengenainya dan sedang giat menghasilkan produk berkenaan untuk kepentingan bersama,” katanya.

Katanya, sebagai pengamal perubatan membabitkan wad bersalin dan kanak-kanak, dia lebih gemar menggunakan kaedah rawatan tanpa ubat.

“Biasanya saya menasihatkan pesakit mengubah cara makan untuk mengelak sembelit termasuk tidak makan malam, selain minum air dengan banyak dan amalkan pemakanan sunah.

“Itu cara penyelesaian saya dan paling penting tabiat makan perlu betul,” katanya yang memasarkan produk itu di pasar tani sekitar Johor Bahru.

Mereka yang ingin mengetahui mengenai mi sihat itu boleh melayari Facebook (FB) Rabbisyfina Food Industry.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2016 @ 5:01 AM

 

This Post Has One Comment

Leave a Reply

×
×

Cart